HAJIJI (kiri) menyantuni pelajar ketika Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Di Semenanjung Malaysia. FOTO Mikail Ong
HAJIJI (kiri) menyantuni pelajar ketika Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Di Semenanjung Malaysia. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan Sabah memperuntukkan subsidi tiket penerbangan berjumlah RM10 juta untuk penuntut negeri itu yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan khas sekali beri atau one off sebanyak RM600 seorang kepada seramai kira-kira 18,000 pelajar itu diharap dapat meringankan beban golongan terbabit sempena Aidilfitri kali ini.

"Ini memandangkan keadaan harga tiket yang agak mahal dan bagi sesetengah pelajar yang tidak berkemampuan, oleh yang demikian kerajaan negeri membantu meringankan beban mereka dalam menampung kos pembelian tiket.

"Jadi kita berharap dengan bantuan itu mereka dapat balik kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah di sini, malam ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut memaklumkan pemberian subsidi itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri yang akan disalurkan terus kepada penuntut terbabit dalam tempoh terdekat.

Beliau menjelaskan, maklumat terperinci dan mekanisme pembayaran akan dibincangkan lebih lanjut dan bantuan khas itu boleh digunakan penuntut berkenaan pada bila-bila masa untuk pulang ke Sabah.

"Insya-Allah saya ingat mereka boleh dapat dalam masa terdekat ini kerana kita sudah mempunyai data pelajar-pelajar berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 9:31 PM