ALIAS (dua dari kiri) melawat pameran pada perasmian Jelajah Pendidikan KPM, semalam.
ALIAS (dua dari kiri) melawat pameran pada perasmian Jelajah Pendidikan KPM, semalam.
Amniera Naziera Amran


Kota Kinabalu: Seramai 503,317 murid di negeri ini menerima Bantuan Persekolahan Kementerian Pendidikan berjumlah RM373 juta tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad berkata, bantuan itu membabitkan tiga kategori termasuk bantuan umum RM89 juta, bantuan khusus RM246 juta dan bantuan secara one off RM38 juta.

“Bantuan berkenaan disalurkan bagi memastikan anak yang berada di 1,293 sekolah di Sabah memperoleh peluang dan akses pendidikan lebih baik dan berkualiti.

“Ia termasuk Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan dan Bayaran Kokurikulum Sekolah manakala bantuan khusus membabitkan Bantuan Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Biasiswa Sukan.

“Selain itu, bantuan one off membabitkan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kompleks Beli-belah Suria Sabah, di sini, kelmarin.

Alias berkata, Sabah turut diberi peruntukan pembangunan RM3.78 bilion membabitkan 43 projek baru dan 147 projek sambungan.

“Daripada jumlah itu, agihan peruntukan RM40 juta diberikan untuk pembaikan 30 sekolah daif di seluruh negeri ini tahun ini bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan setiap sekolah berada pada tahap kondusif,” katanya.

Mengulas berhubung program itu, beliau berkata, Sabah lokasi kelapan selepas Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

“Program berkenaan menyasarkan 12 lokasi seluruh negara. Selepas negeri ini, kita ke Sarawak pada 15 September serta 16 September ini dan seterusnya ke Pahang, Perak sebelum ke Pulau Pinang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 10:34 AM