MUHAMMAD Hafizi mencari rezeki sebagai tukang jahit sejak tiga tahun lalu. FOTO Ihsan Muhammad Hafizi Russeli.
MUHAMMAD Hafizi mencari rezeki sebagai tukang jahit sejak tiga tahun lalu. FOTO Ihsan Muhammad Hafizi Russeli.
Redzuan Muharam


Alor Setar: Latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan khususnya perbankan Islam, namun minat mendorong Muhammad Hafizi Russeli beralih kepada bidang jahitan.

Kini sudah lebih tiga tahun dia bergelar tukang jahit yang memfokus kepada pakaian lelaki.

Muhammad Hafizi, 26, berkata, minat itu dipupuk ketika bekerja di sebuah kedai kain selepas tamat pengajian peringkat diploma di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Sebelum nekad menjadi tukang jahit sepenuh masa, Muhammad Hafizi pernah memohon kerja di bank yang sesuai dengan kelulusan akademiknya.

"Tapi panggilan temuduga lambat dan kebetulan, saya pula sudah minat dalam bidang jahitan... jadi saya teruskan saja (jadi tukang jahit).

"Mulanya malu juga kerana rata-rata yang menceburi bidang ini adalah wanita, namun maklum balas positif daripada pelanggan memberi keyakinan untuk saya teruskan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Hafizi yang tinggal bersama ibunya, Rahmah Salleh, 57, di Kampung Sungai Baru, di sini mengakui tiada asas jahitan dan mengikuti latihan Sijil Profesional GiatMARA dalam jahitan pakaian lelaki, selain Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua pembuat pakaian lelaki kanan di GiatMara Alor Setar, Kedah pada Januari 2020.

Tahun lalu, Muhammad Hafizi menimba ilmu lagi dengan mengikuti Sijil Profesional GiatMARA jahitan pakaian dan fesyen serta SKM tahap dua pembuatan pakaian wanita di GiatMara Jerlun, Kedah.

"Emak saya dulu adalah tukang jahit, namun saya tak pernah cuba menjahit, jadi tiada asas jahitan.

"Disebabkan minat dan ingin pakai baju terletak elok di badan mendorong saya mengikuti kursus jahitan selama enam bulan di GiatMARA Alor Setar.

"Sebulan selepas tamat pengajian iaitu pada Januari 2021, saya mula beranikan diri ambil tempahan dan menjahit dari rumah.

"Sejak November lalu, saya premis di tengah bandar raya ini untuk mudah berurusan dengan pelanggan," katanya yang memberitahu ibunya banyak membantu memastikan kualiti jahitan baik dan menepati kehendak pelanggan.

Muhammad Hafizi juga berkongsi video mengenai rutin kerjanya di TikTok apabila berkesempatan.

"Alhamdulillah, ramai beri kata semangat dan berharap perkongsian itu juga bantu menaikkan nama supaya lebih dikenali.

"Saya alukan lelaki di luar sana yang berminat menceburi bidang ini, cuma jika nak belajar, mereka perlu biasakan diri dengan persekitaran kerana majoriti (tukang jahit) wanita dan jangan pernah putus asa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 11:48 PM