TUN Daim Zainuddin  tiba di kompleks mahkamah bagi berdepan tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta pada 29 Januari lalu. FOTO Aswadi Alias
TUN Daim Zainuddin tiba di kompleks mahkamah bagi berdepan tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta pada 29 Januari lalu. FOTO Aswadi Alias
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, memfailkan permohonan untuk mencabar keabsahan pertuduhan terhadapnya mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset dan satu akaun amanah saham, Disember tahun lalu.

Perkara itu disahkan peguamnya, Rajesh Nagarajan ketika dihubungi BH hari ini.

Dalam permohonan notis usul difailkan pada 15 Mac lalu, Daim memohon Mahkamah Sesyen membuat suatu perintah bagi merujuk kepada Mahkamah Tinggi di bawah seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, iaitu persoalan berkenaan kuasa peruntukan Perlembagaan Persekutuan:

Persoalan itu membabitkan Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan kegansan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Seksyen 36(2) (seksyen dalam pertuduhan) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009.

Daim mahukan Mahkamah Tinggi menjawab persoalan sama ada seksyen berkenaan melanggar hak untuk perlindungan terhadap pembabitan sendiri dengan kesalahan, hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan bagi menunjukkan kesalahan untuk digunakan dalam suatu prosiding terhadap diri sendiri, dan hak untuk perbicaraan adil.

Dengan itu, beliau memohon mahkamah menentukan sama ada ia seterusnya melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan, dan menjadikannya tidak berperlembagaan dan terbatal.

Daim, 86, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang iaitu: Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:33 PM