Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarga mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah dan pembekuan aset.

Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, dan keluarga selaku pemohon berkata, SPRM tidak mempunyai sebab munasabah untuk mengesyaki atau mempercayai bahawa mereka melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM atau di bawah AMLA serta sebarang kesalahan yang timbul daripada pendedahan dalam Pandora Papers.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya 'tiada sebab munasabah' untuk menjalankan siasatan yang bermula sejak Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan yang dimulakan terhadap mereka sehingga kini, menurut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Permohonan itu difailkan Daim di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas.

Turut dinamakan dalam permohonan kebenaran itu ialah isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, dan empat anak mereka iaitu Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta Ilham Tower Sdn Bhd sebagai pemohon pertama hingga ketujuh.

Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.

Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya tiada sebab munasabah untuk menyiasat mereka yang akan membawa kepada pendakwaan bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mereka memohon perisytiharan bahawa walaupun pertuduhan bertujuan untuk dimulakan oleh Pendakwa Raya, ia menyalahi perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Ini mengambil kira kelewatan kira-kira 22 tahun (untuk memulakan tuduhan) dan dengan itu melanggar hak asasi 'kebebasan peribadi' setiap pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan, bahawa notis yang dikeluarkan SPRM adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dengan itu, pemohon memohon perintah certiorari terhadap SPRM dan pegawainya untuk membatalkan semua siasatan yang dimulakan sehingga kini terhadap mereka.

Mereka juga memohon satu perintah larangan bagi Pendakwa Raya untuk mendakwa mereka dan satu perintah Mandamus supaya semua dokumen, fail, kertas, rekod, harta, aset dan wang yang disita atau diperoleh daripada siasatan, dikembalikan dalam tempoh tujuh hari.

Turut dipohon, perintah perisytiharan terhadap notis yang dikeluarkan oleh SPRM pada 7 Jun 2023 menurut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA oleh SPRM tidak lagi berkuat kuasa mulai 5 September 2023.

Selanjutnya, mereka memohon semua aset, akaun bank peribadi dan akaun bank syarikat berkaitan dilepaskan dan dikembalikan, selain memohon ganti rugi am dan teladan terhadap SPRM.

Dalam pernyataan yang difailkan bersama permohonan itu, Daim dan keluarga berkata, permohonan itu difailkan atas alasan siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan pegawainya adalah menyalahi undang-undang.

Mereka berkata, pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan suatu pernyataan yang antara lain menyatakan SPRM membuka siasatan terhadap Daim berdasarkan maklumat daripada 'Pandora Papers'.

Kata mereka, Pandora Papers adalah fail sulit yang tersebar pada 2021 yang mendedahkan nama pemilik syarikat luar pesisir, aset dan akaun bank di bidang kuasa di luar Malaysia dan ia sendiri tidak menyatakan sebarang kesalahan oleh Daim dan keluarganya.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Bulan lalu, SPRM turut menyita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.

Menara Ilham difahamkan merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 3:41 PM