NAIB Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Manivanan Gowin. FOTO Ihsan Niosh
NAIB Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Manivanan Gowin. FOTO Ihsan Niosh
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: Aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu dipertingkatkan dalam kalangan pekerja muda terutamanya mereka yang terbabit dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi gig yang semakin bertambah setiap tahun.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Manivanan Gowin, berkata, usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) untuk pelajar lepasan TVET lebih mudah dilaksanakan melalui kerjasama antara Niosh dan institusi pengajian berkaitan.

Menurutnya, bagaimanapun usaha mendidik pekerja gig mengenai kepentingan KKP adalah lebih mencabar kerana masih ramai antara mereka bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan.

"Rekod daripada Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan kira-kira 300,000 pelajar lepasan SPM tidak berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan trend itu berkemungkinan disebabkan oleh pengaruh ekonomi gig.

"Namun kita yakin Niosh mampu mendekati pekerja gig dan juga graduan TVET melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang amat prihatin dengan kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat yang diberikan oleh Pengarah Eksekuktif Niosh, Ayop Salleh di ibu pejabat Niosh, di sini, hari ini.

Manivanan berkata, Perdana Menteri ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya baru-baru ini, turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Sebagai seorang peguam dan juga bekas Ahli Parlimen, Manivanan berkata, beliau akan menggunakan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan pelbagai pihak untuk membantu Niosh meningkatkan kesedaran mengenai KKP dalam kalangan pekerja gig dan juga graduan TVET.

"Saya difahamkan Niosh sudah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kursus pemanduan dan menunggang motosikal secara berhemah untuk mereka yang terbabit dalam perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

"Usaha ini perlu dipertingkatkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing terbabit," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran berkaitan KKP dalam kalangan pelajar TVET akan dipertingkatkan melalui kerjasama di antara Niosh dan lebih banyak institusi pengajian TVET di seluruh negara.

"Graduan TVET ini perlu mempunyai kesedaran dan kemahiran berkaitan KKP kerana mempunyai potensi besar untuk memegang jawatan penting dalam organisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 6:04 PM