WILSON melawat gerai pameran. FOTO Saifullizan Tamadi.
WILSON melawat gerai pameran. FOTO Saifullizan Tamadi.
Amir Abd Hamid


Bangi: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) meminta pengurusan tempat kerja supaya kerap melaksanakan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta sebagai aktiviti tahunan organisasi.

Ia selari sasaran Niosh supaya kadar kemalangan pekerjaan per 1,000 pekerja dan kadar kematian pekerjaan per 100,000 pekerja di tempat kerja adalah di sekitar bawah tiga peratus.

Pengerusi Niosh, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterap dan diamalkan oleh semua pihak sama ada majikan atau pekerja.

"Ini bagi memastikan kemalangan dan penyakit akibat pekerjaan dapat dicegah. Di peringkat tempat kerja, budaya KKP yang kukuh ialah budaya yang mana hak untuk mendapatkan persekitaran kerja selamat dan sihat bukan sahaja perlu dihargai malah digalakkan oleh pihak pengurusan dan pekerja.

"Budaya KKP yang positif dibina atas penyertaan dan pembabitan semua pihak dalam peningkatan berterusan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja.

"Pekerja berasa selesa untuk mengemukakan sebarang kebimbangan mengenai risiko atau bahaya di tempat kerja dan pihak pengurusan pula proaktif dalam bekerjasama dengan pekerja untuk mencari penyelesaian yang sesuai, berkesan dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2022 peringkat Niosh, di Menara Niosh, di sini, hari ini.

Wilson berkata, membudayakan KKP yang kukuh memerlukan komunikasi dan dialog terbuka yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati antara pekerja, majikan atau pihak pengurusan.

Sementara itu katanya, rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenai statistik kemalangan pekerjaan sepanjang tahun lalu menunjukkan sejumlah 6,686 kemalangan direkodkan di seluruh negara.

"Daripada jumlah kemalangan itu, bilangan yang maut adalah 174, bilangan hilang upaya kekal adalah 249 dan bilangan tidak hilang upaya kekal adalah 6,263.

"Sektor paling banyak kemalangan bagi tempoh itu adalah sektor pengilangan sebanyak 4,269 kes, diikuti pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 973 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 2:15 PM