TAN Sri Lee Lam Thye. FOTO Salhani Ibrahim.
TAN Sri Lee Lam Thye. FOTO Salhani Ibrahim.
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah


INSTITUT Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperluaskan khidmat rundingannya ke Sabah sejajar usaha menyediakan lebih banyak perkhidmatan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada sektor industri di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia termasuk menyediakan khidmat nasihat analisa keperluan latihan secara percuma bagi menggalakkan lebih banyak organisasi di negeri ini melaksanakan sistem KKP yang baik.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian inisiatif NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan ke arah mewujudkan budaya KKP yang baik dan berintegriti di setiap organisasi swasta serta kerajaan.

“Sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, NIOSH bertanggungjawab melaksanakan fungsi berkaitan KKP seperti mengadakan latihan, khidmat rundingan, penyelidikan dan penyebaran maklumat.

“NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan juga akan menjadi lebih proaktif dalam membantu organisasi di negeri ini yang memerlukan latihan KKP sesuai dengan tuntutan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, di Putatan, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengurusan NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, Wan Sarman Sakan; Pengurus Bahagian Perniagaan dan Pemasaran NIOSH, Mohd Hussin Abd Salam dan Pengurus NIOSH Certificate Sdn Bhd, Muhammad Fadhil Abu Bakar.

Menurutnya, perkhidmatan rundingan agensi itu yang sebelum ini hanya disediakan di Semenanjung Malaysia dan mendapat permintaan menggalakkan khususnya dalam bidang berkaitan penggunaan bahan kimia serta ergonomik.

Mengulas lanjut beliau berkata, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau merekodkan permintaan tertinggi untuk perkhidmatan rundingan KKP di Sabah, setakat ini.

Sementara itu, katanya seramai 5,794 pekerja pelbagai sektor industri menyertai 295 kursus berkaitan KKP yang dianjurkan NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan antara Januari hingga Mei lalu berbanding 4,147 peserta menerusi 224 kursus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Tiga kursus dikenal pasti dan diberi tumpuan di Sabah iaitu Kursus Bekerja Selamat di Tempat Tinggi, Kursus Pengendalian Selamat Trak Angsun dan Kursus Pengendalian Selamat Jet Air Bertekanan Tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya NIOSH turut menganjurkan seminar berkaitan pencemaran bunyi sektor industri bagi meningkatkan kesedaran sektor industri terhadap kepentingan aspek KKP pekerja yang terdedah dengan pencemaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:01 PM