FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Hulu Selangor: Seramai 18 penjaja bazar Ramadan tidak berlesen di Kampung Sungai Buaya, di sini, akan berpindah ke tapak disediakan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

MPHS dalam kenyataan media hari ini berkata, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali akan menampung bayaran deposit sebanyak RM300 untuk tapak niaga yang dibenarkan.

Menurutnya, bayaran suntikan tifoid kepada peniaga pula ditaja oleh Pejabat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor.

"Sebarang aktviti penjaja tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Penjaja MDHS 2007 yang mana perlu mendapat kebenaran daripada pihak majlis.

"MPHS turut menasihatkan semua pihak untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi dan sentimen perkauman bagi menjaga kemuliaan bulan Ramadan.

"Sebarang tindakan yang diambil demi menjaga kepentingan peniaga dan pengunjung serta penduduk amnya," katanya.

Kenyataan itu bagi mengulas video dan foto tular peniaga bazar Ramadan Kampung Sungai Buaya, di sini, tidak berpuas hati selepas diminta berhenti berniaga oleh MPHS.

Mengulas lanjut, MPHS berkata, sebanyak sembilan lokasi ditetapkan bagi tapak bazar Ramadan termasuk bazar Ramadan Sungai Buaya yang menyediakan 25 tapak.

Menurutnya, pihaknya kemudian mengesan satu tapak bazar Ramadan beroperasi tanpa kebenaran bersebelahan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buaya pada 12 Mac lalu.

Katanya, terdapat 20 penjaja yang berniaga di tapak di atas tanah rezab kerajaan yang tidak mempunyai kebenaran.

"Pada hari sama, MPHS mengeluarkan notis pemberitahuan dan diserahkan kepada penganjur, dan penjaja dinasihatkan untuk berpindah ke lokasi bazar yang ditetapkan.

"Hasil perbincangan, MPHS bersetuju menawarkan kelonggaran bagi bayaran tapak secara ansuran dengan syarat peniaga perlu mendapatkan suntikan tifoid, namun penganjur gagal mematuhi arahan notis," katanya.

Katanya, MPHS juga mengadakan perbincangan dengan penganjur dan ketua kampung bagi menyelesaikan isu ini.

"Notis pemberitahuan (akhir) telah dikeluarkan Jabatan Penguatkuasaan pada 18 Mac 2024 dan diserahkan kepada Ketua Kampung Sungai Buaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 12:10 PM