KEADAAN runtuhan tanah di bahu jalan utama Bandar Sungai Buaya. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN runtuhan tanah di bahu jalan utama Bandar Sungai Buaya. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Punca runtuhan tanah di bahu jalan di jalan utama di Bandar Sungai Buaya, Rawang, di sini hingga menimbulkan kegusaran penduduk dan pengguna jalan raya adalah disebabkan oleh paip utiliti yang pecah.

Menjelaskan perkara itu, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, terdahulu, pihaknya mengambil maklum isu itu yang disiarkan Harian Metro, kelmarin.

Ini kemudian disusuli dengan lawatan bersama pihak pemaju pada hari sama.

"Siasatan awal Jabatan Kejuruteraan MPHS mendapati lokasi kejadian adalah akses utama bagi projek pembinaan membabitkan tiga syarikat pembinaan.

"Jalan itu juga akses utama untuk loji rawatan air kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) serta Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk tangki Air," katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada IWK untuk tindakan lanjut dan pemaju juga membantu dengan mengadakan siasatan menyeluruh bagi mengetahui lebih lanjut pemilik utiliti, sekiranya paip utiliti itu bukan milik IWK.

Dalam perkembangan sama, MPHS berkata, pada peringkat awal jalan itu masih belum diserah alih pihak pemaju asal yang membangunkan kawasan Bandar Sungai Buaya.

Katanya, pada 2020 MPHS menerima permohonan dan meluluskan pelan berkaitan infrastruktur oleh tiga syarikat pemaju.

"Sehubungan itu, jalan itu disyaratkan kepada pihak pemaju untuk disempurnakan sebelum membuat serahan kepada MPHS," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan runtuhan tanah di bahu jalan di jalan utama Bandar Sungai Buaya, Rawang, ke kawasan perumahan dan tapak perindustrian, yang dikhuatiri menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 9:05 AM