ACHA Dawina cedera selepas digigit anjing pada Ahad lalu di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
ACHA Dawina cedera selepas digigit anjing pada Ahad lalu di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Klang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menerima 15 jahitan selepas diserang dan digigit dua anjing liar di kawasan rumahnya di Pangsapuri Taman Suria Pendamar, di sini, kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Norhashiqin Rosli, 29, kejadian berlaku pada jam 2 jam petang ketika anaknya, Nur Acha Dawina sedang membuang sampah bersama ibu saudara.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumahnya di tingkat tiga pangsapuri berkenaan dan melihat dua anjing menyerang anak sulungnya.

"Kakak memaklumkan ketika sedang membuang sampah, ada dua anjing yang menyalak pada mereka seperti mahu menyerang.

"Dalam keadaan panik, kakak saya lari ke arah blok pangsapuri manakala Nur Acha Dawina lari ke jalan dan dikejar dua anjing sebelum dia terjatuh dan digigit anjing berkenaan.

"Saya yang melihat dari atas menjerit meminta orang yang melalui jalan itu untuk menghalau anjing berkenaan sebelum saya turun ke bawah.

"Akibat serangan itu, anak saya mengalami kecederaan parah iaitu luka besar di kepala, telinga, kaki serta tangan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nurhashiqin berkata, anaknya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini, dan menjalani pembedahan selama enam jam bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang, semalam.

Katanya, Nur Acha Dawina kini dalam keadaan stabil dan masih dalam pemantauan doktor berikutan luka gigitan dan cakaran anjing yang teruk.

Beliau yang baru sahaja sebulan berpindah ke pangsapuri itu memaklumkan anak perempuannya sering menjadi sasaran anjing di kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka anjing berkenaan bertindak ganas menyerang dan menggigit anaknya.

"Laporan sudah dibuat kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan semalam mereka sudah menangkap tiga anjing di kawasan ini.

"Saya difahamkan kawasan ini mula didatangi anjing liar berikutan ada penduduk yang memberi makan dan minuman kepada haiwan berkenaan.

"Saya berharap selepas apa yang berlaku pada anak saya, pihak berkuasa akan bertindak menangkap anjing-anjing liar ini kerana ia membahayakan penduduk," katanya.

Menurutnya, dia akan membuat laporan polis selepas mendapat surat pengesahan daripada hospital.

Sementara itu, ketika tinjauan dilakukan, kakitangan MBDK dilihat sedang melakukan pencarian baki anjing liar di kawasan berkenaan.

Difahamkan terdapat lebih lima anjing liar di kawasan pangsapuri empat blok itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 12:47 PM