Agensi

North Carolina (Amerika Syarikat): Seorang wanita cuba menyembelih anjing peliharaannya bagi menyelamatkan anaknya berusia setahun yang digigit haiwan berkenaan di rumah mereka di Rocky Mount di sini, namun gagal menyelamatkan nyawa anaknya.

Dalam kejadian Isnin lalu, wanita berkenaan, Miranda, menghubungi talian kecemasan 911 bagi meminta bantuan selepas anjing jenis Pit Bull terbabit menggigit anak perempuannya, Triniti Harrell, dan enggan melepaskan mangsa.

Menurut Daily Mail, selama sembilan minit operator menyuruh wanita itu mengambil pelbagai tindakan, termasuk memukul anjing berkenaan dengan kuat.

Operator lelaki terbabit menyuruh wanita itu menyumbat kayu ke dalam mulut haiwan berkenaan untuk menghentikannya daripada terus menyerang.

“Dapatkan sesuatu untuk menghalang anjing itu. Cuba pisahkan mereka sementara kami hantar penyelamat ke sana,” katanya.

Dia juga mengarahkan Miranda memukul haiwan itu dengan penyodok atau kuali.

“Pukul anjing itu, pukul di tengah kepala. Jika awak pukul dengan kuat dia akan mati,” katanya.

Apabila Miranda memberitahu tindakan itu tetap gagal, operator terbabit menyuruhnya mengambil pisau di dapur.

“Boleh anda dapatkan pisau? Jika anda ada pisau, saya akan beritahu cara menghalang anjing itu. Ia hanya mengambil masa 30 saat,” katanya.

Selepas Miranda berjaya mengambil pisau, operator terbabit mengajarnya cara menyembelih anjing tetapi wanita berkenaan memberitahu pisau terlalu tumpul sebelum perbualan terputus.

Anjing terbabit bagaimanapun dibunuh oleh seorang polis yang tiba di lokasi dengan dua tembakan.

Anaknya yang cedera parah bagaimanapun meninggal dunia di hospital kira-kira seminggu selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 7:01 AM