SYARUL Ema Rena. FOTO Arkib NSTP
SYARUL Ema Rena. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Penyedia kandungan media sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa beliau dinafikan hak untuk diwakili peguam ketika disoal siasat agensi itu bulan lalu.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 26 Februari lalu, menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi di sini, Ratu Naga yang bertindak selaku plaintif turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Ratu Naga memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan (kebebasan diri) untuk diwakili oleh peguam apabila diperiksa secara lisan dan disoal di bawah seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga memohon perisytiharan, bahawa penafian haknya untuk diwakili peguam menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 (kedudukan sama rata di sisi undang-undang)

Plaintif berkata, Pada 16 Februari lalu, beliau ditahan SPRM selepas penggeledahan dilakukan di rumahnya dan kemudian dibawa ke ibu pejabat SPRM bersama-sama pegawai agensi itu untuk disoal siasat.

Sepanjang soal siasat itu, Ratu Naga berkata, beliau dinafikan hak oleh defendan untuk diwakili peguam.

Menurutnya, peguamnya membuat permintaan berulang kali kepada pegawai SPRM untuk diberi akses kepadanya untuk mewakilinya ketika diambil kenyataan, tetapi ia dinafikan sama sekali.

Ratu Naga berkata, pada setiap masa material, sehingga dibebaskan pada jam 7.30 petang, beliau berada di bawah tahanan pihak defendan.

Katanya, tindakan menafikan hak untuk diwakili peguam adalah satu pelanggaran yang jelas dan tidak munasabah serta berniat jahat kerana ia menjejaskan haknya.

Azam pada 16 Februari lalu berkata Ratu Naga, tidak ditahan sebaliknya dipanggil untuk memberi keterangan oleh agensi terbabit.

Beliau berkata, aktivis politik itu disiasat berhubung dakwaan menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 3:31 PM