- Foto hiasan
- Foto hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM melalui satu kenyataan media hari ini berkata, siasatan yang bermula sejak Mac lalu sudah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.

Menurutnya, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara Rabu lalu untuk kajian dan arahan lanjut

Sebelum ini media melaporkan, tiga peguam memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain, bagi menuntut perisytiharan siasatan dijalankan SPRM terhadap Mohd Nazlan tidak berperlembagaan.

Ketiga-tiga peguam berkenaan ialah Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai, selaku plaintif memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, agensi terbabit dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Mohd Nazlan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Melalui saman pemula itu, mereka memohon perisytiharan badan siasatan jenayah termasuk defendan kedua (SPRM), tidak berhak atau dihalang daripada menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat, kecuali mereka digantung mengikut Perkara 125(5) atau dibuang menurut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 7:20 PM