NUR Farahin bersama bayinya, nur Rania Alisha. FOTO Ihsan Keluarga
NUR Farahin bersama bayinya, nur Rania Alisha. FOTO Ihsan Keluarga
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Baru empat bulan 24 hari Nur Rania Alisha Muhammad Sharul Nizam dilahirkan ke dunia, namun bayi comel itu perlu berjuang melawan kanser hati atau hepatoblastoma.

Bayi itu didiagnosis penyakit berkenaan pada 16 Mac lalu dan baru selesai menjalani rawatan kimoterapi keempatnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam dan masih berbaki enam kali lagi rawatan itu.

Ibunya, Nur Farahin Alia Zamri, 26, berkata, anaknya yang dilahirkan kembar bersama Nur Rania Izzara akan menjalani kimoterapi seterusnya dan ujian pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada 10 Jun depan.

Menurutnya, hatinya luluh melihat bayi sekecil Nur Rania Alisha berjuang melawan kanser dan menjalani rawatan, namun demi kesembuhan anak kesayangannya itu dia reda.

"Alhamdulillah, kembarnya, Nur Rania Izzara sihat. Nur Rania Alisha adalah pesakit kanser paling muda di wad dan doktor rancang 10 sesi rawatan kimoterapi serta pembedahan major untuk membuang sel kanser di hatinya.

"Peluang untuk anak sembuh tinggi kerana dia masih bayi dan tahapnya juga berisiko rendah tetapi kami tetap bimbang apabila membuat rawatan berlaku komplikasi tak diingini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Farahin Alia berkata, selain pembedahan memasang chemoport, Nur Rania Alisha juga melakukan pembedahan angin pasang (hernia) pada awal Ramadan lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Katanya, sebelum itu dia menyedari perut anaknya buncit pada usia dua bulan dan turut mengalami sesak nafas sebelum dibawa ke hospital.

"Selepas melakukan ujian darah, imbasan sinar-X , CT Scan, ultrasound dan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) doktor sahkan anak saya menghidap penyakit itu.

"Ketika khabar itu diberitahu terasa gelap dunia saya dan ketika itu saya melaluinya berseorangan kerana suami (Muhammad Sharul Nizam Ahmad Mahput, 27) yang juga anggota Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) sedang dalam penugasan operasi di Sabah," katanya.

Promoter pensampelan produk itu berkata, dia dan suami sanggup melakukan apa saja demi melihat Nur Rania Alisha sembuh biarpun dia terpaksa bercuti tanpa gaji ketika ini.

"Suami juga yang sepatutnya bertugas di Sabah sehingga awal bulan depan terpaksa pulang awal kerana membantu menguruskan anak. Setiap kali anak masuk wad, saya dan suami bergilir-gilir menjaganya di hospital.

"Suami menemani anak pada waktu malam dan pagi giliran saya pula kerana suami perlu berkerja, sementara itu mak saya akan bantu jaga seorang lagi bayi di rumah dan kami tak boleh biarkan mak jaga terlalu lama kerana dia pesakit darah tinggi dan memerlukan tidur yang cukup," katanya.

Katanya, dia kuat menghadapi ujian getir itu dengan sokongan suami dan keluarga selain melihat kecekalan Nur Rania Alisha yang banyak memberi kerjasama dan kurang merengek ketika menjalani kimoterapi turut menguatkan semangatnya.

"Ramai sahabat kami termasuk di Tiktok dan kem suami memberi semangat, malah lagi menguatkan semangat saya apabila berjumpa ibu yang anak mereka juga pesakit kanser dan saya selalu pesan pada diri yang ujian orang lagi ada yang lebih berat daripada saya jadi saya perlu kuat semangat.

"Setiap hari tanpa jemu saya dan suami berdoa supaya anak kami bebas daripada kanser hati dan dia dapat membesar dengan sihat bersama kembarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 4:11 PM