GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Lima agensi Persekutuan merekodkan lebihan semasa tertinggi berjumlah RM49.047 bilion pada 2022.

Ia berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini, hasil analisis ke atas 130 penyata kewangan beraudit Agensi Persekutuan.

Agensi berkenaan adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

Menurut laporan itu, pendapatan tahun semasa ketika itu mencatatkan RM37.404 bilion ketimbang perbelanjaan berjumlah RM1.680 bilion sekali gus mendorong lebihan pendapatan sebanyak RM35.724 bilion.

Lebihan pendapatan itu disumbangkan oleh hasil pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM38.753 bilion pada tahun berkenaan.

Untuk BNM, pendapatan pada tahun sama merekodkan RM8.515 bilion ketimbang perbelanjaan berjumlah RM1.529 bilion, menyebabkan lebihan berjumlah RM6.986 bilion.

Ia disumbangkan oleh pendapatan operasi yang terdiri daripada hasil rizab asing berjumlah RM8.303 bilion.

Bagi pendapatan tahun semasa LPPSA, agensi itu mencatatkan RM5.176 bilion berbanding perbelanjaan berjumlah RM2.573 bilion, mengakibatkan lebihan pendapatan berjumlah RM2.603 bilion.

Lebihan terbabit disumbangkan oleh pendapatan daripada pembiayaan perumahan berjumlah RM3.761 bilion pada tahun berkenaan.

Pendapatan LTH pada 2022 pula mencatatkan RM3.158 bilion berbanding perbelanjaan berjumlah RM1.225 bilion menyebabkan lebihan pendapatan sebanyak RM1.933 bilion.

Ia sekali gus menyumbang pendapatan menerusi hasil pendapatan pelaburan aset kewangan berjumlah RM2.772 bilion.

Bank Rakyat merekodkan RM6.246 bilion berbanding perbelanjaan berjumlah RM4.445 bilion menyebabkan lebihan pendapatan berjumlah RM1.801 bilion.

Lebihan pendapatan ini disumbangkan oleh hasil pendapatan daripada pelaburan dana pendeposit berjumlah RM4.443 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:05 PM