AMINUL Izmeer (tengah) menunjukkan antara barang rampasan pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AMINUL Izmeer (tengah) menunjukkan antara barang rampasan pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Johor merampas 2.35 juta batang rokok kretek dan rokok putih dianggar bernilai lebih RM1 juta di sebuah premis di Shah Alam, Selangor, 9 Januari lalu.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, taktik sindiket ialah menjadikan premis perniagaan sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus kastam, dipercayai diimport.

"Usaha mengesan pemilik premis masih berjalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Dipercayai rokok itu diseludup dari Indonesia. Jumlah duti dan cukai ialah RM1.6 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Aminul Izmeer berkata, pihaknya merampas 14 kilogram dadah jenis Methamphetamine bernilai RM542,709 di Durian Tunggal, Melaka, 14 Februari lalu selepas menahan seorang lelaki tempatan.

Katanya, pada serbuan jam 10 malam itu, kesemua dadah terbabit disembunyikan dalam 14 bungkusan yang diletak dalam Toyota Vios.

"Taktik sindiket adalah membawa dadah menggunakan kenderaan bersama barangan lain seperti gula untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 4:22 PM