BOT yang digunakan tekong untuk membawa Pati pulang beraya ke negara asal menggunakan laluan tikus di Gelang Patah, di sini, Jumaat lalu. FOTO Ihsan JKDM Johor
BOT yang digunakan tekong untuk membawa Pati pulang beraya ke negara asal menggunakan laluan tikus di Gelang Patah, di sini, Jumaat lalu. FOTO Ihsan JKDM Johor
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia sanggup membayar sehingga RM3,000 seorang bagi pulang beraya ke negara asal menggunakan laluan tikus di Gelang Patah, di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tindakan mereka membayar sindiket untuk diseludup keluar secara haram dari negara ini tidak kesampaian apabila mereka dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata 10 Pati warga Indonesia itu ditahan bersama dua tekong warga negara berkenaan selepas Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Kastam berjaya memintas bot fiber dinaiki mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu itu, Aminul Izmeer berkata, sepasukan Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Kastam mengesan sebuah bot fiber mencurigakan ketika melakukan rondaan di perairan Laut Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

"Unit Marin mengejar dan berjaya memintas bot fiber berkenaan sebelum pemeriksaan dijalankan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai tekong selain 10 Pati yang menyeludup keluar menggunakan laluan tikus untuk pulang beraya.

"Ketika pemeriksaan, mereka yang berusia antara 25 hingga 50 tahun itu juga gagal mengemukakan dokumen sah malah tidak mempunyai permit sah tinggal di negara ini.

"Siasatan awal mendapati, mereka dipercayai menuju ke Batam bagi pulang beraya selepas menggunakan laluan tikus untuk menyeludup keluar secara haram," katanya pada sidang media di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Parah, di sini, hari ini.

Aminul Izmeer berkata, dua tekong warga itu direman tujuh hari bermula 15 Mac lalu, mengikut kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Sepuluh Pati berkenaan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Ditanya mengenai laluan tikus yang menjadi 'hotspot' Pati untuk menyeludup keluar masuk ke negara ini di Gelang Patah, Aminul Izmeer berkata, ada beberapa 'hotspot' yang sudah dikenal pasti dan dipantau pihak berkuasa termasuk JKDM.

"Kes Pati menyeludup keluar menggunakan laluan tikus di negeri ini termasuk Gelang Patah, ketika musim Aidilfitri selalunya meningkat, namun penguatkuasaan dan pemantauan akan ditingkatkan bersama agensi keselamatan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 2:20 PM