BERNAMA

Ipoh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menemukan 1.4 juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama dalam sebuah rumah kosong di Taman Saujana Bakti, Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan, Sabtu lalu.

Pengarah JKDM Perak, Dr Mohamad Saprin berkata, kesemua rokok yang disyaki barangan larangan Kastam bernilai anggaran RM1 juta termasuk cukai itu dirampas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak dalam serbuan pada 6 petang.

"Ketika serbuan, tiada penghuni di rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan menemukan semua barangan berkenaan di dalam rumah itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kesemua rokok antaranya jenama Pragon, Vson, Quest Bold dan Mayor yang dipercayai dibawa masuk melalui pintu pelabuhan utama negara itu dibawa dari luar negara untuk pasaran di sekitar kawasan utara.

Beliau berkata, kesemua eksibit dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Perak di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, JKDM Perak turut merampas 202 botol minuman arak yang disyaki barangan larangan Kastam bernilai kira-kira RM40,000 termasuk cukai di sebuah kedai runcit di Ipoh dan menahan pemilik serta pengurus premis berkenaan pada Jumaat lalu.

Mohamad berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada kira-kira 12.45 tengah hari bagi membantu siasatan di bawah seksyen sama.

"Pasukan serbuan menemukan stok minuman keras itu disimpan di dalam stor premis yang kemungkinan untuk dijual sempena musim perayaan akan datang namun mereka gagal membuktikan barangan itu diimport secara sah selepas tiada dokumen menunjukkan cukai kastam dibayar," katanya.

Menurutnya, bekalan minuman keras yang berkualiti tinggi dari negara Eropah itu dijual dengan harga lebih murah dari pasaran iaitu lebih RM100 sebotol.

ROKOK seludup yang dirampas APMM menerusi Op Pluto Timur di Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.
ROKOK seludup yang dirampas APMM menerusi Op Pluto Timur di Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan boleh menghubungi talian bebas tol Kastam di 1800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 1:11 PM