Suraya Roslan

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, tadi, mengurangkan hukuman lapan tahun penjara dan mengekalkan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun.

Pada 30 Januari lalu, panel terbabit selesai mendengar hujahan daripada peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul Yong dan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz.

Hisyam ketika berhujah menyatakan anak guamnya diprejudiskan apabila tidak diberikan peluang untuk berdepan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

Katanya, Hakim Bicara terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.

Sementara itu, Fuad yang mewakili pendakwaan menghujahkan bahawa walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.

"Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa," kata pendakwa raya itu.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul Yong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul Yong menyatakan bahawa dakwaan rogol itu adalah satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kelebihan tiga undi.

Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.

Paul Yong diperintah untuk membela diri atas pertuduhan pada 7 Disember 2021 dan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas membenarkan rayuan Paul Yong.

Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:45 AM
MAHKAMAH Rayuan mengurangkan hukuman lapan tahun penjara dan mengekalkan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu. FOTO Asyraf Hamzah
MAHKAMAH Rayuan mengurangkan hukuman lapan tahun penjara dan mengekalkan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu. FOTO Asyraf Hamzah