Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong mahu pulang ke Indonesia kerana ada 'orang jahat' di sini.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51, berkata, wanita itu mempunyai rahsia dan mahu memberitahu dirinya dan ibunya ketika mereka bertemunya di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 19 September 2019.

"Ketika kami bertemunya di kedutaan, dia menangis teresak-esak dan memeluk ibunya Tina. Dia kata mahu pulang ke Indonesia kerana ada 'orang jahat' di sini.

"Bagaimanapun saya tidak tahu apa rahsia yang dia enggan dedahkan kerana tidak dimaklumkan kepada saya," katanya.

Muhammad Rusdi dipanggil oleh pasukan pembelaan Yong, diketuai peguam Datuk Rajpal Singh untuk memberi keterangan semalam di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Sementara itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin sama ada mangsa mendedahkan siapa yang dimaksudkan, saksi mengatakan dia tidak tahu.

Mohd Fitri mencadangkan kepada Muhammad bahawa 'orang jahat' yang dimaksudkan ialah individu yang merogolnya iaitu bekas majikannya, Yong.

Muhammad berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu dan dia sendiri tidak berada di tempat kejadian.

Mohd Fitri juga mencadangkan bahawa individu yang sepatutnya memberi keterangan adalah ibu mangsa dan perkara itu dipersetujui oleh Muhammad yang bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa wanita itu yang juga kakak iparnya tidak sihat.

Sementara itu menjawab soalan Rajpal sama ada dia pernah bertemu dengan majikan anak saudaranya itu, Muhammad memberitahu tidak pernah.

Menjawab soalan Rajpal sama ada dia tahu maksud sebenar 'orang jahat' dia berkata 'aku tak mengerti apa orang jahat itu, tak pasti'.

Muhammad adalah saksi terakhir yang dipanggil oleh pasukan pembelaan selepas Yong dan isterinya, Too Choon Looi, 46, selesai memberi keterangan pada 16 Mac.

Oleh itu pihak pembelaan menutup kes mereka semalam.

Mahkamah menetapkan 17 Mei depan untuk hujahan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Yong diperintahkan membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan dapat membuktikan prima facie terhadap Paul Yong Choo Kiong bagi pertuduhan itu.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya berusia 25 tahun di rumahnya di Taman Meru Desa pada 7 Julai 2019, antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 5:13 PM