KHAIRUL Aminur (kanan) ketika ditemui bersama pekerja beliau di R&R Rawang Arah Utara. foto GENES GULITAH
KHAIRUL Aminur (kanan) ketika ditemui bersama pekerja beliau di R&R Rawang Arah Utara. foto GENES GULITAH
Oleh Suliati Asri


Lebuhraya Utara Selatan tidak hanya menyediakan rangkaian jalan raya bersistematik, tetapi ia juga lebih daripada sekadar laluan ke destinasi yang dituju.

Ini kerana PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pengendali lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan anak syarikat UEM Group Berhad (UEM Group), selain menjadi penghubung antara bandar turut memacu kemajuan sosioekonomi usahawan Bumiputera menerusi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah miliknya.

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani berkata program usahawan Bumiputera ini adalah komitmen syarikat dan syarikat induk Khazanah Nasional Berhad untuk memupuk ekonomi berdaya saing dan menyumbang secara aktif kepada agenda pembangunan negara.

Katanya, usaha itu dimanifestasikan melalui pelbagai inisiatif utama yang bertujuan memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil kemajuan dan kemakmuran negara.

"R&R PLUS direka secara strategik bukan saja untuk rehat dan rawat tetapi sebagai batu loncatan kepada usahawan Bumiputera meraih pelanggan. Justeru, dengan peluang yang disediakan oleh PLUS, usahawan yang tergolong daripada masyarakat setempat dan tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari R&R di sepanjang lebuhraya, berjaya meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata visi PLUS adalah untuk mengubah ketersambungan ini menjadi pusat peluang komersial.

Katanya, dengan itu usahawan Bumiputera boleh memaksimumkan potensi mereka, berhubung dengan pasaran yang lebih luas dan akhirnya memperoleh pendapatan lebih tinggi dan mampan.

"Sehingga kini, kami bekerjasama dengan hampir 500 perusahaan kecil dan sederhana di 29 R&R, 50 hentian sebelah dan empat restoran jejantas PLUS. Ia diuruskan usahawan tempatan yang bermula sebagai pengusaha gerai kecil, kemudian mengembangkan perniagaan mereka dan sehingga kini ada yang menjadi pembekal di luar R&R. Kejayaan para peniaga R&R ini mencerminkan impak positif, betapa pentingnya lebuh raya PLUS sebagai rangkaian pengangkutan strategik dalam memacu peluang perniagaan dan sosioekonomi," katanya.

Bagi memacu kemajuan sosioekonomi pengusaha-pengusahanya, PLUS juga melatih mereka menjadi usahawan yang lebih baik melalui pelbagai program dan kursus seperti perkhidmatan pelanggan, keselamatan makanan, pengurusan perniagaan dan penggunaan teknologi bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik.

Pengusaha Gerai Fruits Station Nine di Hentian Sebelah Bukit Gantang Arah Utara, Nurul Syuhada Mohammad Tarmezi, 36, peluang menjadi rakan niaga PLUS memberi impak yang besar buat dirinya tidak hanya dari segi pendapatan tetapi juga pengurusan perniagaan.

Katanya, dulu dia hanya bekerja sebagai pembantu gerai sebelum memohon untuk membuka gerai buah sendiri dan tidak mempunyai ilmu dalam pengurusan perniagaan.

Namun, dengan latihan dan program pembangunan yang diberikan PLUS banyak memberi kemahiran dalam mengendalikan perniagaan.

"Dari segi jualan, dulu ia tidak setinggi sekarang. Sejak mengikuti kursus yang disediakan, nampak peningatan dari segi jualan.

"Malah, jumlah pelanggan juga lebih memberangsangkan semenjak saya mengamalkan apa yang telah dipelajari," katanya.

Nurul Syuhada Mohammad Tarmezi
Nurul Syuhada Mohammad Tarmezi

Nurul Syuhada berkata menjadi rakan niaga PLUS juga memberi peluang kepadanya untuk membantu orang kampung dengan menjadikan mereka rakan niaga dan pembekal buah di gerainya.

"Alhamdulilah, sejak memulakan perniagaan pada 2014, dari empat pekerja kini saya sudah menggaji lapan orang pekerja," katanya yang menjual pelbagai jenis buah antaranya limau bali, mangga, jambu batu, jambu madu, kundang, jagung manis, jeruk dan buah-buahan bermusim iaitu durian, manggis serta rambutan.

Pengusaha Gerai Good Taste di R&R Rawang Arah Utara, Khairul Aminur Rostam, 39, berkata menjadi salah seorang rakan niaga PLUS membantunya dalam mengembangkan perniagaan dari penjual asam pedas di luar, pembantu gerai dan kini rakan niaga PLUS.

Menurutnya yang pernah menjadi antara pengusaha terbaik R&R Rawang Arah Utara 2023, tempoh lima tahun menjadi rakan niaga PLUS adalah satu kejayaan dan kenangan manis buatnya.

"Dulu, semasa berniaga di luar saya hanya menunggu pelanggan. Mula berniaga di PLUS, saya hanya mempunyai seorang pekerja. Kini, selepas lima tahun, berkat galakan yang diberikan PLUS, saya sudah mempunyai enam pekerja," katanya.

 Khairul Aminur
Khairul Aminur

Sejak 2018, Khairul Aminur sangat berterima kasih kerana peluang yang diberikan menerusi inisiatif terbaik yang disediakan PLUS kepada peniaga di R&R ini.

"Latihan yang diberikan juga dapat mendisiplinkan kami terutama dari segi kebersihan, pengurusan kewangan dan banyak lagi.

"Kami di sini bukan hanya berniaga, tetapi PLUS juga membantu kami untuk maju lebih ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengusaha Gerai Bapak Beriani R&R Pagoh Arah Selatan, Faizah @ Rashidah Dahari, 50, berkata kursus yang disediakan PLUS mengajarnya lebih bersistematik dalam perniagaan.

"Sebagai rakan niaga PLUS, banyak kursus yang disediakan termasuk pengurusan wang tunai, kursus pensijilan halal dan banyak lagi yang dapat memajukan perniagaan dan mempertingakatkan diri sendiri.

"PLUS banyak mengajar kami bagaimana melayan pelanggan dengan baik dan paling penting membantu dalam menguruskan aliran tunai," katanya.

 Rashidah Dahari
Rashidah Dahari

Faizah berkata PLUS juga turut membantu dalam mengembangkan perniagaannya dan kini berjaya mengeluarkan produk Beriani Kambing sedia untuk dimakan.

"Konsep perniagaan di R&R yang terbuka juga membolehkan lebih ramai pengunjung yang datang termasuk pelancong luar seperti China, Singapura dan banyak lagi.

"Dengan itu, selain dapat mengembangkan perniagaan, kami juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar sekali gus membantu mereka meningkatkan sumber pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 7:20 AM