Peniaga di R&R diberi pengurangan sewa bulanan selama tiga bulan oleh PLUS Malaysia.
Peniaga di R&R diberi pengurangan sewa bulanan selama tiga bulan oleh PLUS Malaysia.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memberi bantuan tambahan kepada rakan niaganya di kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya itu yang terjejas berikutan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan berbentuk pengurangan sewa bulanan selama tiga bulan terbabit akan diberikan kepada semua rakan niaga dan pengendali perniagaan sementara bermula Ogos hingga Oktober yang akan datang.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, bantuan berkenaan termasuk pengecualian sewa bulanan untuk semua rakan niaga di R&R Gelang Patah (Arah Utara dan Selatan) susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.

Katanya, PLUS juga akan melanjutkan pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada rakan niaga yang terjejas berikutan pengumuman kerajaan yang melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.

"PLUS konsisten dalam usaha membantu rakan niaga sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu.

"Kami telah menganjurkan pelbagai program latihan dalam talian dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kebolehan rakan niaga mengadaptasi perniagaan mereka demi mendepani cabaran perniagaan yang disebabkan oleh Covid-19.

"Pengenalan fungsi 'Order di Sini' atau fungsi 'pra-pesanan' menerusi aplikasi PLUS juga direka khusus sebagai pemudah cara bagi menggalakkan pembelian atas talian seta pesanan bawa pulang di semua R&R," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, PLUS juga sedang meneliti cadangan pembayaran secara berkala serta pengecualian caj bayaran lewat untuk rakan niaganya.

Bantuan yang sama juga akan diberikan kepada pengusaha tempatan di R&R di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, bantuan pengurangan sewa sudah diberikan sejak 2020 susulan pelaksanaan PKP sebelum ini dan PLUS sentiasa mencari jalan untuk membantu rakan niaga mereka melalui pendekatan terbaik, walaupun turut berdepan dengan cabaran pandemik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 4:32 PM