DR Zulkafperi. FOTO Aarkib NSTP
DR Zulkafperi. FOTO Aarkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Seorang lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi menyatakan sokongannya berkuat kuasa hari ini selepas menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

"Keputusan ini bertujuan untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen saya terus terbela dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat.

"Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada kenyataan sama, beliau menegaskan masih setia sebagai ahli BERSATU dan tidak akan mengkhianati parti itu.

"Demi kelangsungan Parlimen Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Tambah beliau, pengisytiharan sokongan itu dibuat tanpa paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

"Saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 4:03 PM