GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua pekerja kilang dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mencuri kepingan lebihan logam milik majikan mereka bernilai RM10,000 awal bulan ini.

Tertuduh pertama, Mohd Hanif Abd Rahman, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan, manakala rakannya, warga Nepal, Yadav Devlal Prasad mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan mereka bersama-sama didapati dengan niat curang mencuri kepingan lebihan logam berharga RM10,000 kepunyaan syarikat tempat mereka berkerja iaitu Premier Tech Precision Sdn Bhd tanpa kerelaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat itu di Lot 9587-D Jalan PBR 3, Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, dekat sini, pada 9 Februari lalu, kira-kira jam 4 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 44 kanun sama itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menjalankan pendakwaan, sementara hanya tertuduh pertama diwakili peguam iaitu Omar Zulkarnain.

Pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 bagi Mohd Hanif, namun tiada jaminan bagi tertuduh warga Nepal yang mengaku bersalah.

Majistret Nabilah Nizam membenarkan Mohd Hanif dilepaskan dengan jaminan RM 3,500 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Sementara itu, kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman dengan kehadiran jurubahasa Nepal pada 18 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:23 PM