Seorang lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap adik perempuan. FOTO Mary Victoria Dass
Seorang lelaki berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap adik perempuan. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Remaja lelaki 18 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap adik perempuan sendiri berusia sembilan tahun, Julai lalu.

Tertuduh mengangguk faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 3 pagi di kediaman di Masai dekat sini pada Julai lalu.

Sehubungan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 12:34 PM