AHMAD Nizam  dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.
AHMAD Nizam dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Padah cuba membunuh polis dengan merempuh anggota berkenaan dalam kejadian 19 Mac lalu, seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tertuduh, Ahmad Nizam Ishak, 30, mengaku faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dan mengaku tidak bersalah.

Dia kemudian merayu wang jaminan yang bakal dikenakan tidak terlalu tinggi kerana mempunyai empat anak manakala isterinya tidak bekerja.

Selepas mendengar rayuan itu, Hakim Kamarudin Kamsun menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dan dua penjamin bagi setiap pertuduhan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada masa sama, Kamarudin menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengarahkan suspek melantik peguam untuk membelanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 10:27 AM