Mohd Zuki menyampaikan sijil pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohd Zuki menyampaikan sijil pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang meningkat dari kedudukan ke 61 pada 2022 kepada 57 tahun lalu menunjukkan Malaysia semakin baik dalam konteks sistem keadilan dan perundangan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penarafan membabitkan 180 negara pada tahun lalu dengan tema "Corruption and Justice" antara lainnya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin baik dalam konteks sistem keadilan dan perundangan, termasuk aspek kebebasan kehakiman.

Katanya, ia boleh dilihat dengan beberapa kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara dalam kes berprofil tinggi yang dilaporkan, serta peralihan kepimpinan kerajaan yang demokratik, aman dan tenteram, berkat kesungguhan dan sokongan padu serta profesionalisme penjawat awam.

"Bagaimanapun, masih banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk terus melonjakkan kedudukan negara dalam penarafan CPI ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mohd Zuki berkata, ia termasuklah mempercepatkan lagi pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang bermula sejak 2019 hingga tamat pada 2023.

"Seperti yang kita sedia maklum juga, Kerajaan melalui Kajian Separa Penggal RMK-12 dan NACP sebelum ini, telah menetapkan strategi dan tindakan yang memerlukan komitmen daripada semua sektor awam dan swasta.

"Bagaimanapun, isu-isu ketirisan, salah guna kuasa dan perlakuan rasuah tetap masih belum dapat dikekang sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, graduan yang ada pada hari ini perlu sedar dan jelas akan peranan yang perlu dimainkan di jabatan dan syarikat masing-masing dan seterusnya membawa organisasi ke arah pentadbiran yang lebih baik.

"NACP sebelum ini memfokuskan kepada pemantapan governans, integriti dan antirasuah dalam sektor awam demi meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan.

"Namun begitu, kepentingan pengukuhan integriti dan antirasuah dalam sektor swasta juga tidak boleh dipandang enteng dan perlu menjadi salah satu agenda utama dalam usaha murni ini," katanya.

Mohd Zuki berkata, NACP menjurus kepada enam bidang keutamaan iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat sebagai suatu usaha untuk mempertingkatkan kecekapan dan ketelusan urus tadbir kerajaan.

"Namun begitu, pengukuhan integriti dan antirasuah tidak seharusnya terhad kepada bidang yang termaktub di dalam NACP sahaja, malah perlu merangkumi bidang yang berisiko tinggi dan juga 'core business' kepada organisasi.

"Maka kerajaan memperkenalkan pula Strategi NACS 2024-2029 sebagai kesinambungan kepada NACP yang juga satu inisiatif pelaksanaan pentadbiran berlandaskan tata kelola baik yang pastinya dapat memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Beliau difahamkan bahawa NACS pada 2024-2029 bakal dilancarkan pada pertengahan tahun ini di mana ia akan memfokuskan kepada keberkesanan pencegahan rasuah serta meningkatkan tata kelola baik dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:32 PM