Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


MASIH ada lima anggota Kabinet yang belum mengisytiharkan harta, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Lima orang ini tak payah saya sebutkan. Saya akan mengambil perhatian berat dan minta disegarakan supaya perkara ini dapat disempurnakan juga," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mahu tahu perkembangan terkini proses pengisytiharaan harta oleh Jemaah Menteri selepas tempoh diberikan sejak Mac lalu, berakhir.

Muhyiddin berkata, keseluruhannya 97 peratus anggota Kabinet sudah mengisytihar harta mereka dan proses sama turut dilakukan di peringkat timbalan menteri dan Ahli Parlimen.

"Saya dengar pihak sana (pembangkang) sudah menyelesaikan (isytihar harta) sebab pentadbiran terdahulu sudah isytihar tetapi di sini (pihak kerajaan), banyak (ramai) yang baharu, jadi mereka memerlukan sedikit masa.

"Saya percaya ini akan dapat disempurnakan dalam masa terdekat ini," katanya membetulkan tempoh pengisytiharaan harta adalah tiga bulan, bukan sebulan, mengikut tataetika ditetapkan.

Muhyiddin mengarahkan Jemaah Menteri mengisytihar harta sebagai komitmen kerajaan untuk menentang dan membanteras rasuah, dalam mesyuarat Kabinet sulung yang dipengerusikannya pada 11 Mac lalu.

Berhubung draf Rang Undang-Undang (RUU) mengawal sumbangan politik, katanya, setakat 16 Julai lalu, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) masih belum menerima laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan dasar sumbangan politik.

"PAC telah diminta untuk menyediakan laporan mengenai dasar ini sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Belas Parlimen Keempat Belas, namun saya kira disebabkan PAC baru dibentuk baru-baru ini, ia belum dikemukakan dan akan meneruskannya," katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Beaufort), Muhyiddin berkata, inisiatif membanteras rasuah diteruskan kerajaan Perikatan Nasional untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Katanya, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 28 inisiatif di bawah enam strategi pelaksanaan NACP sudah diselesaikan membabitkat 13 inisiatif Tadbir Urus Politik, Pentadbiran Sektor Awam (3), Perolehan Awam (4), Perundangan/Kehakiman (1), Penguatkuasaan Undang-Undang (5) dan Tadbir Urus Korporat dua inisiatif.

MUHYIDDIN Yassin menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN Yassin menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat. FOTO Asyraf Hamzah

"Peranan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dikekalkan. JKKMAR dipertanggungjawabkan menyelaras pelaksanaan, memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada Kerajaan mahupun swasta.

"Manakala Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat Kementerian dan Jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dibuat tidak berkompromi kepada sebarang tindakan rasuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 11:12 AM