GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip 'rule of law'.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan jelas serta berterusan.

"Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum berhubung keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang diumumkan oleh Transparency International (TI) semalam iaitu skor sebanyak 51/100 dan kedudukan 57/180 buah negara.

"Walaupun skor dan kedudukan negara menurun sedikit daripada tahun 2019, namun perlu ditegaskan bahawa dasar dan komitmen kerajaan memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas serta berterusan," katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkat tadbir urus kerajaan selain mengurangkan dan menutup peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

"Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Semalam, media melaporkan, Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam CPI TI bagi 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan dipetik berkata, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

Dalam kalangan negara Asean, Singapura berada di tangga teratas diikuti Brunei (ke-35) dan Malaysia (ke-57). Satu-satunya negara dari Asia yang berada di kedudukan 10 teratas ialah Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 6:33 PM