GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Hari keempat Op Selamat 21 sempena sambutan Tahun Baharu Cina merekodkan 14 kes kematian akibat kemalangan maut di seluruh negara, semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam kenyataan menunjukkan sebanyak 1,203 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara.

Statistik sama turut menunjukkan 1,480 kenderaan terbabit kemalangan.

Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis lalu sehingga esok sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Polis turut menjalinkan kerjasama dengan rakan kolaborasi strategik Plus Malaysia Berhad (Plus), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

JSPT juga dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 12:11 PM