MOHD Zolkafly ketika ditemui media pada program memasak dan agihan bubur lambuk sempena Ramadan di Taj International College (TIC). FOTO L.Manimaran
MOHD Zolkafly ketika ditemui media pada program memasak dan agihan bubur lambuk sempena Ramadan di Taj International College (TIC). FOTO L.Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bekalan barangan keperluan mentah seperti daging, ayam, ikan, dan telur di negeri ini mencukupi sehingga sambutan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, setakat ini juga pihaknya tidak menerima sebarang aduan serta laporan berkaitan ketidakcukupan barangan-barangan terbabit.

"Setakat hari ini, saya belum dapat apa-apa aduan berkaitan ketidakcukupan bekalan bahan makanan dan sebagainya. Insya-Allah, setakat ini kita beri jaminan bahawa semuanya mencukupi.

"Ia mencukupi untuk pengguna atau masyarakat Islam untuk menyambut Aidilfitri, termasuk daripada segi (bekalan) telur yang tidak timbul masalah mengenainya setakat hari ini," katanya kepada media pada program memasak dan agihan bubur lambuk sempena Ramadan di Taj International College (TIC), di sini, hari ini.

Katanya lagi, menjelang Aidilfitri, kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan menganjurkan Jualan Agro Madani Pra Syawal peringkat negeri pada Jumaat ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

Menurutnya, selain itu, ada juga program Pra-Pesanan Jualan Rahmah Aidilfitri (Ayam, Daging, dan Telur) dengan harga subsidi sempena Aidilfitri ini anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang berlangsung daripada 22 Mac lalu dan berakhir hari ini (2 April).

Kata Mohd Zolkafly, Jualan Agro Masani sempena Syawal bagaimanapun lebih tertumpu kepada penganjuran selepas tanggal 1 Syawal membabitkan lapan daerah di Perak.

"Cuma di Lenggong sahaja jualan murah diadakan sebelum Aidilfitri iaitu pada 7 April.

"Untuk jualan di Lenggong, kira-kira 2,500 ekor ayam seberat kira-kira 1.5 kilogram akan dijual pada harga RM10 seekor.

"Untuk jualan pra-pesanan Perak SADC, daging segar lembu, umpamanya dijual pada harga RM32 berbanding harga pasaran iaitu RM38 hingga RM40 sekilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:40 PM