GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok haram dengan merampas 3.3 juta batang rokok dalam dua serbuan berasingan di Selangor dan Johor, minggu lalu.

JKDM dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan pada 24 dan 29 Januari lalu susulan maklumat dan risikan yang dijalankan.

"Dalam operasi pertama, pegawai dan anggota menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Megah Emas, Petaling Jaya, Selangor.

"Hasil serbuan, pasukan menyita 1.13 juta batang rokok seludup putih pelbagai jenama tidak bercukai.

"Rokok berkenaan dipercayai untuk diedarkan ke kawasan sekitar Lembah Klang khususnya Petaling Jaya," kata kenyataan itu.

Dalam operasi kedua pada 29 Januari lalu, JKDM berkata, pasukan menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian JB Perdana, Johor Bahru dan merampas 2.16 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup masuk melalui jalan laut.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Skudai dan Johor Bahru.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk kedua-dua kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 7:32 PM