SEBANYAK 227 kotak mengandungi 50 karton rokok dipercayai seludup bersama sebuah lori treler yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan dirampas. FOTO ihsan PGA
SEBANYAK 227 kotak mengandungi 50 karton rokok dipercayai seludup bersama sebuah lori treler yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan dirampas. FOTO ihsan PGA
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua lelaki ditahan bersama rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, semalam.

Serbuan dilakukan pada 7 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras selepas menerima maklumat.

Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, suspek berusia 28 dan 31 tahun itu disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai.

"Pemeriksaan menemui 227 kotak mengandungi 50 karton rokok dipercayai diseludup dan polis turut merampas sebuah treler disyaki digunakan untuk aktiviti itu dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.75 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan untuk pasaran sekitar Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata, sejak Januari tahun ini sehingga semalam, sebanyak 56 serbuan Op Kontraban dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurutnya, seramai 126 individu berusia 23 hingga 64 tahun ditahan dan pelbagai barangan seperti rokok, minuman keras, dadah, mercun, beras serta kenderaan dirampas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM35.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:01 PM