FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang didakwa dilakukan sekumpulan anggota polis terhadap seorang lelaki ketika ditahan di Langkawi, Kedah, Isnin lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan selari dengan siasatan kematian orang kena tahan (OKT) terbabit.

"Dari sudut JIPS, kita akan menjalankan siasatan adakah berlaku pelanggaran SOP ketika penangkapan dilakukan terhadap individu berkenaan.

"OKT disahkan meninggal dunia bukan ketika ditahan, iaitu (dia) disahkan meninggal dunia selepas jaminan polis. Kita juga sedang menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, rakaman video yang memaparkan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Langkawi.

Seorang daripada angggota polis dilihat menendang bahagian belakang lelaki terbabit, sebelum menggari tangan mangsa.

Azri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang melanggar sebarang SOP yang ditetapkan.

"Siasatan akan dijalankan jika ada bukti yang cukup, kita tidak akan berkompromi kerana ia membabitkan pelanggaran salah laku," katanya.

Semalam, keluarga lelaki yang maut selepas mendakwa diserang anggota polis ketika ditahan di Langkawi menuntut pembelaan di atas kematian mangsa.

Adik mangsa meminta pihak polis mengemukakan penjelasan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat sebelum dibawa kembali ke Langkawi untuk urusan pengebumian.

Arwah menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu selepas dua hari bertarung nyawa dan dikebumikan di Kampung Ewa, Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 1:57 PM