FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Gara-gara perselisihan faham, wanita berusia 27 tahun cedera pada perut dan beberapa bahagian badan selepas ditikam wanita lain di hadapan sebuah rumah di Batang Kali, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian itu 4.04 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 31 tahun dengan mangsa.

"Suspek bertindak menikam perut mangsa menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 26.5 sentimeter.

"Mangsa mengalami luka koyakan di perut, selain cedera pada bahu, tangan kanan dan kiri serta kepala. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek yang juga rakan kakak mangsa, 6 petang hari sama, di Batang Kali.

Ketika ditanya motif perselisihan faham serta sama ada suspek mempunyai masalah kesihatan, beliau memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.

"Semakan mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Polis akan memohon tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, hari ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:45 AM