GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Polis Johor menerima 12 laporan berhubung penipuan pelaburan mata wang Kripto secara dalam talian melalui laman Accerx dengan kerugian keseluruhan berjumlah lebih RM5 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan itu yang dibuat warga tempatan berusia antara 46 tahun hingga 71 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan itu.

"Antara 3 Januari lalu hingga kelmarin, Polis Johor menerima dan menjalankan siasatan ke atas 12 laporan polis dibuat individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan.

"Semua mangsa mendakwa melihat iklan berkaitan pelaburan mata wang Kripto berkenaan di laman sosial yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat.

"Mangsa kemudiannya menekan pautan yang diberikan dan seterusnya dibawa ke dalam kumpulan WhatsApp yang mana mereka telah diberikan penerangan berkenaan pelaburan yang ditawarkan dan keuntungan yang bakal diperolehi," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut memuat turun dan mendaftar di laman Accerx bagi memantau pelaburan masing-masing.

Katanya, terpedaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat pembayaran ke akaun-akaun yang diarahkan bagi tujuan pembelian mata wang Kripto.

"Menurut mangsa, semakan di laman Accerx menunjukkan pelaburan mereka menunjukkan keuntungan yang berlipat kali ganda dan berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan itu.

"Namun begitu, mangsa mula sangsi kerana wang keuntungan gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuklah dikehendaki membuat sejumlah bayaran sebelum wang keuntungan dibayar atau jika gagal dibayar, wang pelaburan mereka akan hangus.

"Mangsa percaya ditipu dan membuat laporan polis dengan kerugian dialami antara RM177,000 hingga RM1,780,000 seorang," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan melalui media sosial.

"Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

"Selain itu, orang ramai diseru untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian 'Semak Mule' sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi 'Whoscall' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 3:55 PM