Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas. FOTO MARY VICTORIA DASS
Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sungai Mas. FOTO MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi:"Sia-sia kami bersama sukarelawan bertungkus-lumus membersihkan rumah, selang empat jam banjir berulang," kata mangsa banjir Kampung Baru Sungai Mas, Norizan Punijan, 54.

Norizan berkata, pada jam 2 petang semalam seramai 20 pelajar pusat tahfiz membantu keluarganya mencuci rumah sehingga siap jam 5 petang.

Namun katanya, belum sempat dia sekeluarga masuk ke rumah, air naik semula pada jam 9 malam tadi.

"Ini adalah ujian bagi kami namun kami redha dengan harapan ia tidak berulang lagi.

"Lima rumah termasuk kediaman kami paling teruk terjejas kerana berada di kawasan rendah serta hampir dengan sungai.

"Sekarang saya dan empat keluarga lagi menunggu kelulusan pejabat daerah untuk berpindah dan membina rumah baharu," katanya.

Norizan berkata, dia bersyukur kerana semua perkakas dan peralatan elektrik sudah dipindahkan ke tempat tinggi sejak hujung bulan lalu.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Abdul Sukor, 59, berkata, sungai di belakang rumah adalah antara punca banjir selain sistem saliran termasuk parit di depan rumah penduduk.

"Sungai berkenaan tidak dibesarkan. Kami percaya pertembungan Sungai Felda Mas dan Sungai Ulu Papan berdekatan kampung ini memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan kejadian banjir berulang.

"Usaha dan permohonan untuk membesarkan sungai dan parit di kampung ini sudah diajukan kepada pihak berkenaan, harap ia dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, warden Madrasah Tahfiz Kota Tauhid Kampung Baru Sungai Mas berkenaan, Mohd Azam Mohd Zin, 52, berkata, empat kereta milik tenaga pengajar dan penduduk setempat yang parkir ditenggelami banjir kerana tidak sempat dipindahkan ke kawasan selamat.

"Mujur kami sempat memindahkan buku, kitab dan al-Quran termasuk barang elektrik ke tempat tinggi.

"Selain kediaman penduduk, tahfiz ini yang menempatkan 13 pelajar dan dua tenaga pengajar turut ditenggelami banjir dan kami turut berpindah ke PPS," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 8:08 PM