GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan warga Palestin Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, anggota berusia 22 tahun itu adalah anggota polis yang menjalankan tugas am di Balai Polis Gombak.

"Susulan video tular di media sosial, polis menerima satu laporan berhubung kejadian semalam.

"Susulan itu siasatan dijalankan dan berjaya menahan suspek yang terbabit. Suspek menerima sejumlah wang bagi melepaskan bapa seorang lelaki Palestin, daripada diambil tindakan atas kegagalan menunjukkan pasport yang sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, kejadian itu berlaku pada 9 November lalu di sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Gombak.

"Lelaki Palestin itu bersama bapanya diperiksa di sekatan jalan berkenaan pada jam 10.40 pagi ketika dalam perjalanan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Pemeriksaan anggota polis bertugas mendapati bapa lelaki itu tidak membawa pasport dan hanya menunjukkan gambar pasport di dalam telefon bimbit," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 03-61262222 atau 016-9537372,"katanya.

Sebelum ini, tular rakaman suara di Twitter dipercayai berkaitan salah laku pemerasan meminta wang yang dilakukan anggota polis ketika sekatan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 9:24 AM