ABDUL Razak menunjukkan laluan anak sungai bersaiz parit untuk ke Sungai Tebrau kerana sistem perparitan tidak relevan dengan pembangunan semasa. FOTO Omar Ahmad
ABDUL Razak menunjukkan laluan anak sungai bersaiz parit untuk ke Sungai Tebrau kerana sistem perparitan tidak relevan dengan pembangunan semasa. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Keadaan anak Sungai Kangkar Tebrau yang cetek dan sempit dipercayai menjadi antara faktor penyumbang banjir besar yang berlaku di Kampung Kangkar Tebrau, di sini.

Pesara Abdul Razak Tarmidi, 63, berkata sistem aliran berkenaan juga gagal diselenggara hampir 10 tahun lalu sekali gus tidak mampu menampung pembangunan pesat di sekeliling kawasan kampung itu.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan sama seperti banjir pada akhir 2006 dan awal 2007 lalu.

"Tolong betulkan sistem perparitan kerana anak Sungai Kangkar Tebrau di belakang kampung ini cetek, malah aliran dari anak sungai menuju ke Sungai Tebrau hanya bersaiz parit.

"Penduduk kampung tidak menolak pembangunan tetapi lihat sama sistem perparitan sesuai atau tidak dengan aliran air yang datang dari pelbagai arah," katanya.

Abdul Razak yang menetap di kampung itu sejak 63 tahun lalu berkata, apabila aliran air tersekat, maka air akan melimpah ke kawasan kampung yang boleh diibaratkan sebagai kolam tadahan.

"Selain itu, di kampung ini terdapat lebih 3,000 pendatang asing antaranya etnik Rohingya, Bangladesh dan Nepal.

"Mereka ini memang pengotor, buang sampah mereka dibuang sesuka hati ke dalam sungai. Ia juga menjadi punca aliran anak sungai ke Sungai Tebrau tersekat," katanya.

Juruelektrik Engku Mohammad Ungku Abdul Rashid, 47, berkata sekiranya pihak berkaitan melakukan penyelenggaraan anak sungai itu mungkin mampu mengurangkan risiko kekerapan banjir

Katanya, ketika ini penduduk kerap berhadapan banjir sama ada banjir kilat atau banjir besar.

"Kita tidak menolak pembangunan, orang kampung setuju pembangunan, yang penting sistem perparitan perlu diperbaiki.

"Selagi sistem perparitan tidak diperbetulkan dan anak sungai tidak didalamkan, masalah banjir ini tidak akan selesai," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Mohd Saifuddin Mohd Nasir, 37, berkata masalah berkenaan pernah diadukan kepada pihak berwajib, namun berganti wakil rakyat masih tiada penyelesaian.

"Selenggara parit, longkang dan sungai itu yang paling penting, kurang sikit banjir. Sekarang ini sudah kerap sangat (banjir), terlalu kerap.

"Wakil rakyat pun silih berganti tetapi penyelesaian tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 11:57 AM