Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sehingga 4 petang tadi, Johor merekodkan 32,870 mangsa banjir dengan peningkatan 151 orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mangsa banjir itu membabitkan 9,288 keluarga dari 10 daerah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, lima PPS baharu dibuka, manakala empat lagi ditutup, menjadikan jumlah terkini 219 PPS yang masih beroperasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat terus mencatatkan pertambahan mangsa dengan 12,258 orang (3,511 keluarga) di 78 PPS.

"Kluang juga meningkat kepada 5,251 mangsa (1,528 keluarga) di 39 PPS, manakala Batu Pahat mempunyai 4,491 mangsa (1,215 keluarga) di 25 PPS," katanya dalam kenyataan.

Azmi berkata, mangsa banjir di Kota Tinggi pula membuka satu PPS baharu selepas mencatat penurunan ketara pada tengah hari.

Katanya, jumlah terkini mangsa banjir di 20 PPS daerah itu adalah 3,431 orang (923 keluarga), sementara 2,853 mangsa (832 keluarga) di 18 PPS di Muar dan 2,186 mangsa di 20 PPS di Tangkak.

Menurutnya, Mersing mempunyai 768 mangsa banjir, Johor Bahru (1,218 mangsa), Pontian (361 mangsa) dan Kulai (471 mangsa).

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi masih mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk atau jingga ke atas Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Mersing sehingga esok.

Hujan berterusan tahap waspada atau kuning pula bagi Tangkak Muar, Batu Pahat dan Pontian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:23 PM