MANGSA banjir yang berlindung di PPS SK Pianggu terpaksa dipindahkan ke PPS SK dan SMK Tanjung Gemok, selepas PPS itu dinaiki air. FOTO Farizul Hafiz Awang.
MANGSA banjir yang berlindung di PPS SK Pianggu terpaksa dipindahkan ke PPS SK dan SMK Tanjung Gemok, selepas PPS itu dinaiki air. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di Johor setakat 8 malam melonjak kepada 42,704 orang membabitkan 10 daerah terjejas.

Semua mangsa daripada 12,408 keluarga itu dipindahkan ke 252 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, peningkatan mangsa banjir di Johor susulan hujan lebat berterusan dan cuaca yang buruk di semua daerah.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kulai yang menutup PPS kelmarin, kembali terjejas dengan 48 mangsa (11 keluarga) ditempatkan di sebuah PPS.

Katanya, banjir di Johor merekodkan empat kematian setakat ini dengan satu kes di Kluang, manakala tiga lagi di Segamat.

"Segamat kekal menjadi daerah paling terjejas dengan 13,292 mangsa daripada 3,888 keluarga di 76 PPS.

"Batu Pahat pula melonjak tinggi dengan 12,286 mangsa (3,862 keluarga) di 55 PPS, diikuti Muar yang mempunyai 3,862 mangsa (1,140 keluarga) di 23 PPS dan Kota Tinggi (3,257 mangsa) di 20 PPS.

"Tangkak juga bertambah 2,912 mangsa daripada 866 keluarga di 24 PPS. Johor Bahru pula menurun dengan 517 mangsa (178 keluarga) di empat PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Mersing mencatatkan kenaikan mangsa banjir seramai 911 orang membabitkan 264 keluarga di lima PPS, sementara Pontian pula turun kepada 327 mangsa banjir daripada 87 keluarga di empat PPS.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan lebat berterusan tahap bahaya di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok.

"Manakala hujan lebat berterusan tahap buruk membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Setakat jam 8 malam ini, semua 10 daerah negeri ini mengalami hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi sekali gus meningkatkan kebimbangan lebih banyak kawasan bakal terjejas banjir," katanya.

Sementara itu, sebanyak 22 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya iaitu tujuh di Segamat, Batu Pahat (lima), Muar (tiga), masing-masing dua di Kluang, Tangkak dan Kota Tinggi serta satu di Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 9:34 PM