PENDUDUK menunjukkan mendapan yang berlaku di hadapan rumah mereka di Lorong A40, Precint 4, Bandar Warisan Puteri. FOTO AHMAD HASBI
PENDUDUK menunjukkan mendapan yang berlaku di hadapan rumah mereka di Lorong A40, Precint 4, Bandar Warisan Puteri. FOTO AHMAD HASBI
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Selepas lebih setahun berlalu, kejadian tanah mendap di hadapan rumah penduduk dekat Lorong A40, Precint 4, Bandar Warisan Puteri, dekat Sikamat di sini, belum menunjukkan sebarang tanda baik pulih.

Kejadian pada 9 Oktober 2022 itu menyebabkan longkang, laluan pejalan kaki dan sebahagian jalan yang hanya tiga meter dari rumah penduduk mendap ketika hujan lebat jam 4.30 petang.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati sebahagian pita kuning tiada, malah kawasan mendap juga dinaiki pokok liar selain ia dibiarkan terdedah tanpa sebarang aspek keselamatan.

Apa yang membimbangkan adalah keselamatan penduduk terutama kanak-kanak yang beriadah pada waktu petang selain mendapan difahamkan mula merebak lebih 150 meter (m) dan lebar satu meter.

Penduduk paling terkesan, Afiq Fahmi Jasman, 38, berkata, dia tidak tenteram dan tidak tidur lena setiap kali hujan lebat terutama waktu malam kerana bimbang mendapan merebak.

"Dulu kawasan ini dijadikan tempat letak kereta, namun sejak kejadian itu, penghuni di lapan rumah di sini tidak berani meletakkan kenderaan di situ. Setiap kali pusing kereta, risau jika tiba-tiba mendap.

"Di hadapan rumah kami ini ada kolam takungan dan saliran air. Penduduk bimbang ia mendatangkan isu keselamatan terutama kepada kanak-kanak," katanya.

Afiq Fahmi berkata, lorong paling belakang di taman perumahan itu juga gelap pada waktu malam dan ia berisiko kepada orang luar atau penduduk yang tidak tahu.

"Apa yang paling membimbangkan penghuni di lapan unit ini sekiranya struktur tanah mendapan menjadi lebih kritikal.

"Sudah lebih setahun ia berlaku, namun kami lihat tiada sebarang kerja baik pulih dijalankan," katanya.

Sementara, Pengerusi Persatuan Penduduk Amethyst E, Ismail Mahat, 47, berkata, penduduk tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, namun pihak berkuasa sepatutnya memaklumkan sebarang perkembangan mengenai situasi itu.

"Sebelum ini Majlis Bandaraya Seremban (MBS) beberapa kali datang ke lokasi. Mereka melihat lokasi, mengambil gambar, mengukur dan mengambil sampel tanah.

"Bagaimanapun, sehingga kini tidak tahu status kerja baik pulih. Kami berharap pihak berkenaan dapat memberi maklum balas sekali gus mengurangkan kerisauan kami.

"MBS perlu maklumkan dari semasa ke semasa dan tarikh mula kerja. Kami berharap ia segera dijalankan kerana mendapati mendapan semakin merebak lebih-lebih lagi musim hujan," katanya.

Penduduk, Amran Hamid, 65, berkata, pihak berkuasa perlu melakukan kerja baik pulih sebelum perkara buruk berlaku.

"Pihak berkenaan perlu maklumkan kepada penduduk supaya kami tidak risau atau sekurang-kurangnya berada dalam keadaan bersiap sedia.

"Penghuni di lapan unit ini paling terkesan sekiranya mendapan melarat ke rumah mereka.

"Jika berlaku apa-apa, mereka perlu menanggung kerugian besar kerana membabitkan aset hartanah," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 7:01 AM