ANGGOTA bomba bersama polis bersiap sedia menyelamatkan mangsa banjir  di Kampung Laut Skudai Kecil, Skudai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANGGOTA bomba bersama polis bersiap sedia menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Laut Skudai Kecil, Skudai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang warga emas yang menghidap kanser diselamatkan selepas kediaman keluarganya di Kampung Laut, ditenggelami air bah sehingga paras dada, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, terpaksa mengusung, Sri Wahyuni Ahmad, 55, sebelum meletakkannya ke dalam bot penyelamat berikutan air bah semakin tinggi.

Ketua BBP Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar, berkata anggota bomba terpaksa memujuk warga emas itu berikutan beliau pada mulanya enggan berpindah ke tempat selamat kerana mendakwa kediaman berkenaan mempunyai loteng di bahagian bumbung.

Bagaimanapun katanya, beliau menasihatkan supaya warga emas dan keluarganya berpindah kerana air bah deras berikutan hujan lebat yang bertembung dengan air sungai yang pasang.

"Alhamdulillah, warga emas berkenaan akhirnya akur dan bersetuju untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

"Namun ada segelintir penduduk di kawasan terjejas banjir membabitkan Kampung Laut, Kampung Skudai Kecil dan Lampung Batu 10 Jaya Sepakat, Skudai, yang masih enggan berpindah walaupun sudah dinasihatkan, dengan alasan mahu menjaga rumah dan harta benda

"Kedegilan ini membahayakan nyawa mereka kerana malam ini air pasang besar diramalkan sehingga 2.8 meter dan jika hujan lebat berterusan, aliran banjir akan menjadi deras apatah lagi jika malam suasana gelap dan kerja menyelamat menjadi sukar dilakukan.

"Saya nasihatkan penduduk tidak mengulangi kejadian ketika banjir tahun lalu kerana kedegilan mereka berpindah menyebabkan ada mangsa terperangkap dan terpaksa memanjat sehingga ke bumbung sebelum memohon bantuan pasukan penyelamat," katanya ketika ditemui dalam operasi memindahkan penduduk di Kampung Laut, hari ini.

Hujan lebat berterusan melanda kesemua 10 daerah negeri ini sejak pagi tadi menyebabkan banjir yang sebelum ini sudah surut semakin buruk dengan jangkaan lebih banyak kawasan rendah akan dinaiki air serta lebih ramai mangsa akan dipindahkan.

Mangsa banjir di negeri ini meningkat semula kepada 851 orang daripada 241 keluarga yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas, selepas menurun semalam.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dilaporkan mengeluarkan amaran tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka melanda Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, sehingga esok.

Manakala amaran tahap kuning iaitu hujan berterusan dijangka melanda Johor Bahru, Kulai, Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 8:13 PM