ORANG ramai hadir mengisi maklumat diri dalam Sistem PADU di kaunter penerangan yang dibuka untuk orang ramai di UTC Pasir Gudang, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ORANG ramai hadir mengisi maklumat diri dalam Sistem PADU di kaunter penerangan yang dibuka untuk orang ramai di UTC Pasir Gudang, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Tiada kelemahan dikesan dalam pengendalian pengesahan semasa Security Posture Assessment (SPA)menggunakan nombor MyKad membabitkan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Perkara itu dikongsikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang memuatnaik Soalan Lazim Rasmi (FAQ) berkaitan PADU di aplikasi X rasminya.

Katanya, pasukan PADU sudah mengambil tindakan segera berhubung isu berbangkit mengenai PADU.

Berhubung pertanyaan mengenai 'Bug/Vulnerability' (Pepijat/Kelemahan) dalam mengisi maklumat, Rafizi berkata, bagi melicinkan proses pengemaskinian individu, maklumat pengemaskinian boleh dilaksanakan sejurus log daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

"e-KYC hanya dilaksanakan selepas pengemaskinian maklumat dilaksanakan dan individu ingin membuat pengesahan dan perakuan penghantaran profil.

"Sebarang maklumat yang diisi tanpa eKYC yang disahkan tidak akan diintegrasikan ke dalam PADU. Hanya maklumat yang dikemukakan dari pengguna yang berjaya pengesahan eKYC dikira sah," katanya.

Mengenai pertanyaan sama ada nombor telefom sama boleh digunakan untuk mendaftar berbilang akaun, Rafizi berkata, nombor telefon sama boleh digunakan sebanyak lima kali.

Katanya, ia bagi memudahkan pendaftaran individu yang juga ahli isi rumah berusia 18 tahun ke atas atau ibu bapa yang tidak memiliki telefon untuk membuat pendaftaran akaun PADU.

"Secara umumnya PADU di rekabentuk bagi memusatkan maklumat setiap individu yang bertaraf warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. Bagi tujuan ini, setiap individu yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu mempunyai akaun individu sendiri.

"Seterusnya, bagi tujuan pembentukan isi rumah, individu yang berada di bawah satu isi rumah perlu dimasukkan di bawah satu isi rumah bersama ahli yang lain termasuklah mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan bukan warganegara," katanya.

Jelasnya, ia bertujuan memastikan maklumat isi rumah terselarasdan hanya ketua Isi rumah sahaja dibenarkan membuat pengemaskinian isi rumah.

"Perakuan bagi ahli isi rumah hanya boleh dibuat apabila ketua isi rumah selesai mengisi maklumat isi rumah masing-masing.

"Setiap individu digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain bagi memudahkan proses perakuan dilakukan dengan mudah," katanya.

Menjawab mengenai medan data kosong selepas proses e-KYC, Rafizi berkata, e-KYC adalah proses pengesahan identiti pengguna.

"Pengguna perlu memastikan setiap maklumat yang dikemaskini perlu disimpan (save) pada setiap variabel.

"Selepas semua maklumat disimpan, pengguna perlu melaksanakan e-KYC bagi melaksanakan perakuan kepada maklumat yang dikemaskini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pelaksanaan PADU menerima sambutan baik apabila seramai 233,782 pengguna sudah mendaftar dengan sistem berkenaan.

Katanya, seramai 118,115 daripada jumlah terbabit berjaya menyelesaikan pendaftaran dengan e-KYC iaitu bersamaan dengan 71 peratus," katanya.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 2:00 PM