PELBAGAI pelan diperkenal bagi membantu memulih ekonomi.
PELBAGAI pelan diperkenal bagi membantu memulih ekonomi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nilai jualan kraf negara tahun ini sehingga 30 September dicatatkan pada RM182.7 juta.

Ia jauh merosot berbanding RM519.7 juta tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemerosotan ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara ini sejak awal tahun ini.

Sehubungan itu, pihaknya membuat unjuran baharu jualan pada tahun ini.

"Berikutan kesan daripada penularan pandemik Covid-19, Kraftangan Malaysia sudah mengunjurkan sasaran baharu bagi jualan kraf tahun 2020 iaitu berjumlah RM200 juta berbanding sasaran awal RM500 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu bengkel Seri Gedong Songket di Kampung Kanchong Baru Gedong, dekat sini.

Nancy berkata, kerajaan sudah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 5 Jun lalu.

Beliau berkata, ia sebagai usaha memulihkan ekonomi rakyat dan negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

"Kraftangan Malaysia sedang giat melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu usahawan kraf tempatan menghadapi situasi ekonomi yang amat mencabar ketika ini," katanya.

Nancy berkata, antara usaha ini termasuklah Program Pembangunan Kemahiran Komuniti yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pembangunan Kemahiran Dan Peningkatan Kemahiran.

Katanya, ia sebagai usaha membangun dan memperkasa komuniti kraf bagi membabitkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf, untuk menjana pendapatan utama atau sampingan.

"Pelaksanaan program ini adalah hasrat kerajaan dalam usaha membantu kumpulan sasar, iaitu belia dan beliawanis, asnaf, golongan B40 (bandar dan desa), masyarakat Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak, kumpulan rentan (ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas) serta penganggur," katanya.

Katanya, sebanyak 47 projek dengan 159 aktiviti makmal kemahiran kraf di seluruh negara, sudah dan bakal berlangsung bagi tempoh empat bulan, bermula dengan Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Tekstil ECO Print Ba'Kelalan, di Sarawak pada 15 hingga 18 September lalu.

Menurutnya program ini memfokuskan kepada empat inisiatif, iaitu pembangunan produk, pembangunan komuniti, pasaran dan promosi serta komunikasi pasaran bersepadu, yang terbuka kepada seramai 3,720 orang kumpulan sasar merangkumi bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:00 AM