Penduduk membabitkan lima mukim di Pasir Kelang terpaksa menggunakan bot tambang selepas perkhidmatan feri dihentikan seketika susulan paras air Sungai Kelantan di Pasir Kelang naik setinggi lebih 24 meter. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Penduduk membabitkan lima mukim di Pasir Kelang terpaksa menggunakan bot tambang selepas perkhidmatan feri dihentikan seketika susulan paras air Sungai Kelantan di Pasir Kelang naik setinggi lebih 24 meter. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Kenaikan paras air Sungai Kelantan menyebabkan perkhidmatan feri di Pasir Kelang di sini, terpaksa dihentikan sementara waktu.

Situasi berkenaan menyebabkan lebih 1,000 penduduk membabitkan Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet, dan Buyong Darul Hijrah terpaksa menggunakan bot tambang untuk menyeberangi sungai ke bandar Kuala Krai.

Penduduk, Mohd Fazlan Hassan, 34, berkata, dia terpaksa menggunakan khidmat bot tambang menyeberangi sungai untuk menghantar lauk dan barangan keperluan asas kepada ibu bapanya yang tinggal di Kampung Pasir Kelang Lama.

"Sejak banjir beberapa hari lalu, bekalan makanan di rumah mereka hampir kehabisan susulan tidak dapat keluar berikutan jalan di kampung berkenaan dinaiki air lebih satu meter.

"Justeru pagi ini, saya mengambil bot tambang untuk menghantar makanan kepada mereka selepas paras air sungai sedikit turun berbanding semalam, namun tetap bimbang kerana arus air yang deras," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mahadi Yas, 59, berkata, dia yang sudah lebih 20 tahun menetap di Kampung Pasir Kelang Lama sudah lali dengan keadaan setiap musim tengkujuh apabila bot penambang menjadi nadi pengangkutan utama kepada penduduk di kawasan sekitar.

"Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan jalan kampung turut ditenggelami air sedalam satu meter dan keadaan itu menyebabkan saya perlu menaiki dua kali bot tambang sebelum sampai ke jeti dan selepas itu sekali lagi terpaksa menggunakan bot tambang untuk ke bandar Kuala Krai.

"Setiap kali musim tengkujuh, bot penambang menjadi nadi pengangkutan utama kepada penduduk di lima kampung bagi menggantikan operasi feri bagi memudahkan urusan penduduk yang hendak berulang-alik ke bandar Kuala Krai.

"Saya berharap pembinaan jambatan disiapkan dengan segera bagi memudahkan urusan penduduk selain dapat menjimatkan kos perjalanan apabila perlu membayar tambang feri di luar musim tengkujuh," katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Asrol Akif Jazlan, 23, berkata, perkhidmatan bot penambang milik Koperasi Pasir Kelang Berhad terpaksa digunakan untuk menyeberangi sungai bagi memudahkan urusan penduduk yang dipisahkan dari kampung seberang oleh Sungai Kelantan yang hendak berulang-alik ke bandar Kuala Krai.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu, selain hujan lebat sekali-sekala sejak Ahad lalu menyebabkan paras air sungai naik sekali gus sukar untuk membawa kenderaan berat seperti kereta menggunakan feri seperti kebiasaan.

"Buat masa ini, saya hanya berulang-alik 10 kali sehari menggunakan bot penambang untuk menyeberangi sungai dengan jarak antara satu jeti ke satu jeti adalah kira-kira 200 meter" katanya.

Katanya, bot penambang ini beroperasi bermula dari 7 pagi hingga 7 malam untuk membawa penduduk di beberapa kampung menyeberangi sungai dengan tambang RM2.

"Bagaimanapun, pada ketika ini saya hanya memberikan perkhidmatan bot penambang ini pada waktu kritikal seperti untuk keluar bekerja, membeli barang keperluan dan kes kecemasan sahaja.

"Setiap kali mengemudi bot, terutamanya ketika musim tengkujuh saya sentiasa berwaspada serta berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang berikutan arus sungai yang deras selain mereka juga dibekalkan jaket keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 8:33 AM