Sebahagian penduduk Kampung Pasir Kelang berulang-alik dengan menaiki bot laju akibat perkhidmatan feri tidak dapat beroperasi. FOTO Faris Zainuldin
Sebahagian penduduk Kampung Pasir Kelang berulang-alik dengan menaiki bot laju akibat perkhidmatan feri tidak dapat beroperasi. FOTO Faris Zainuldin
Siti Nadzirah Che Mud


LEBIH 1,000 penduduk di lapan kampung di Kuala Krai terkandas sejak beberapa hari lalu selepas perkhidmatan feri terpaksa dihentikan berikutan paras Sungai Kelantan meningkat.

Kampung itu ialah Kampung Pasir Kelang, Taku, Buyong, Sokor, Ladang Sokor, Ladang Taku, Pasir Kelang Lama dan Pasir Kelang Baru.

Sebelum ini, feri terbabit menjadi satu-satunya pengangkutan utama mereka untuk ke bandar berhampiran bagi membeli barang keperluan.

Kini mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan sebuah bot yang disediakan Koperasi Pasir Kelang Berhad untuk menyeberangi sungai terbabit.

Penduduk Kampung Pasir Kelang Baru, Ibrahim Ahmad, 56, berkata, sejak tiga hari lalu perkhidmatan feri dihentikan sementara berikutan paras sungai yang semakin meningkat.

Katanya, hujan berterusan sejak Jumaat juga menyebabkan pangkalan feri di Pasir Kelang itu tidak dapat beroperasi selepas ditenggelami air.

"Nak tunggu feri beroperasi semula, mungkin makan masa yang lama kerana perlu tunggu air sungai surut terlebih dulu.

"Buat masa sekarang, kami semua hanya bergantung kepada sebuah bot untuk kegunaan kecemasan atau keluar mencari barang keperluan.

"Beginilah nasib kami yang perlu dilalui setiap tahun. Saya sangat berharap pembinaan jambatan ini dapat dilaksanakan," katanya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Shamsudin Mat Yusof, 54, berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk kerana selama ini mereka bergantung sepenuhnya dengan perkhidmatan feri.

"Bot sedia ada hanya mampu memuatkan 10 orang saja dan kami perlu mengutamakan kepada penduduk yang dalam kecemasan dan membeli barang keperluan.

"Harapan saya, keadaan cuaca semakin baik supaya perkhidmatan feri dapat beroperasi semula," katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Abdul Razak Che Ya, 59, berkata, setiap tahun apabila musim tengkujuh, dia akan ditugaskan membawa bot untuk menghantar penduduk ke seberang.

"Perkhidmatan bot ini disediakan untuk kemudahan penduduk berulang-alik ke bandar dan berdepan kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:30 PM