FERI mampu bawa sehingga lima kenderaan seberang sungai.
FERI mampu bawa sehingga lima kenderaan seberang sungai.
Siti Nadzirah Che Mud


Kuala Krai: Kira-kira 10,000 penduduk sekitar Pasir Kelang di seberang Sungai Kelantan, di sini, menjadikan feri sebagai pengangkutan utama untuk ke bandar selain menjalani rutin harian lain berikutan tiada kemudahan jambatan disediakan.

Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Pasir Kelang, Kampung Taku, Kampung Buyong, Kampung Sokor, Ladang Sokor, Ladang Taku dan Pasir Kelang Lama.

Tinjaun Harian Metro mendapati perkhidmatan feri tambang penting kepada penduduk untuk mendapatkan kemudahan asas selain ke kedai, sekolah, hospital atau balai polis.

Penduduk Siti Mariam Jusoh, 65, berkata, sebelum perkhidmatan feri disediakan penduduk menggunakan bot yang terhad untuk menyeberangi sungai dan ia menyukarkan penduduk sekiranya berlaku kecemasan.

“Dengan adanya feri, penduduk boleh menarik nafas lega terutama pelajar dan guru kerana mereka tidak perlu lagi meninggalkan kenderaan di seberang sungai.

“Walaupun ada jalan darat ke Tanah Merah melalui kebun getah, namun ia mengambil masa hingga satu jam dan perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda memandangkan laluannya berbukit,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap jambatan dibina di perkampungan itu.

“Setiap kali cuti sekolah dan perayaan, kami terpaksa menunggu sehingga empat jam bagi mendapatkan giliran menaiki feri,” katanya.

Setiausaha Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad Mokhtar Ismail berkata, inisiatif koperasi menyediakan perkhidmatan feri membolehkan penduduk berulang alik menyeberangi sungai yang mengambil masa lima minit ke kampung sekitar.

Katanya, perkhidmatan feri mula disediakan pada 2014 selepas melihat kesengsaraan penduduk yang berharap kemudahan lebih baik.

“Bagi memastikan keselamatan penumpang, koperasi membina kabel merintangi sungai.

“Pada musim tengkujuh, kami berjaga-jaga berikutan paras air sungai meningkat,” katanya.

Menurut beliau, perkhidmatan feri bermula jam 7 pagi hingga 11 malam dengan kadar tambang RM1 seorang dan RM6 bagi kereta.

“Feri ini mampu memuatkan lima kereta pada satu masa, selain membawa muatan sehingga 20 tan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 6:48 AM