nor FazlinaAbdul Rahim


Kota Bharu: Keadaan benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang yang pecah akibat gelombang ketiga banjir semakin teruk.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah, berkata kawasan yang pecah semakin panjang sehingga 100 meter berbanding hanya 20 meter sebelum ini.

"Kita sudah turun ke lapangan untuk melihat keadaan benteng yang pecah dan kita dapati benteng yang pecah semakin panjang sehingga 100 meter.

"Setakat ini kita kenal pasti dua lokasi benteng yang pecah iaitu di Kampung Lachang membabitkan 100 meter dan berdekatan pos Pas Pasukan Gerakan Am (PGA) Pok Teh Kana iaitu 10 meter," katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM6 juta bagi membina alur limpah di Projek PLSB Sungai Golok.

Perdana Menteri dilapor berkata, pembinaan alur limpah itu akan dibuat di tiga lokasi di kawasan projek berkenaan termasuk kawasan benteng yang pecah.

Mengulas lanjut, Marinamarican berkata pihaknya kini dalam proses untuk melantik kontraktor bagi pembinaan tiga alur limpah berkenaan.

"Pembinaan tiga alur limpah itu dijangka mengambil masa selama enam bulan dan dengan adanya tambahan tiga alur limpah itu, ia mampu mengurangkan kesan banjir terutama di Rantau Panjang," katanya.

Ketika ditanya sama ada benteng yang pecah ada unsur khianat pihak tertentu, Marinamarican menafikan perkara itu sebaliknya memaklumkan Sungai Golok yang tinggi iaitu 11.03 meter menyebabkan tebing berkenaan pecah.

"Kena faham tebing projek PLSB Sungai Golok adalah 10 meter sedangkan air Sungai Golok ketika banjir adalah 11.03 m dan melebihi tebing PLSB.

"Itu menyebabkan tebing pecah dan ketika itu air dari sebelah Thailand turut menyumbang kepada peningkatan Sungai Golok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 1:59 PM